Sunday, January 26, 2014

Apakah matlamat tujuan kehidupan kita ?

“Dalam kehidupan ini, orang yang paling malang ialah, orang yang tidak tahu tujuan hidup sebenar di dunia ini”

Hidup ini ibarat suatu perjalanan. Ia bermula tanpa pernah dipinta, dan ianya akan berakhir dengan tanpa diduga. Siapa sahaja yang hidup, pasti akan menemui kematian. Ini menunjukkan kepada kita bahawasanya, kehidupan ini sememangnya suatu perjalanan, yang ada permulaan baginya dan akan berakhir jua suatu hari nanti.
Namun, di sebalik sebuah perjalanan yang bernama kehidupan ini, ada sebuah pengertian yang perlu dihayati, dan sebuah matlamat hakiki yang perlu dilaksanakan. Seseorang yang hidup tanpa mengenal erti kehidupan yang sebenar, dan menjalani kehidupan tanpa melaksanakan matlamat hakiki kehidupannya, pasti akan menanggung derita di sepanjang kehidupannya, dan lebih malang lagi, dia akan menangggung penyesalan yang kekal setelah kematiannya.
Orang yang hidup tanpa memahami hakikat sebenar kehidupannya, pasti akan tersiksa dalam menanggung onak dan duri dalam kehidupan ini, dan jiwanya pasti akan merasa kekosongan. Dia hidup dalam sebuah kehidupan yang penuh kepalsuan dan kesamaran, serta dia akan mati dalam sebuah kematian yang penuh dengan penyesalan.
Para pujangga membuat perumpamaan, di mana, seseorang yang hidup tanpa tujuan, bagaikan seseorang yang singgah di sebuah lapangan terbang, lalu duduk di sana tanpa sebarang tujuan, sekadar melihat orang-orang yang sibuk menguruskan urusan penerbangan mereka.
Justeru, orang-orang yang dilihatnya, yang sedang sibuk menguruskan penerbangan mereka, sememangnya singgah ke lapangan terbang dengan penuh harapan dan makna, kerana mempunyai tujuan takkala menjejakkan kaki ke sana, sedangkan dia, yang sekadar singgah di lapangan terbang tersebut tanpa tujuan, pasti akan rasa kekosongan, kesunyian dan kerugian, walaupun di tengah-tengah kesibukan manusia.
Dalam hidup ini, matlamat hidup merupakan suatu intipati yang amat penting. Seseorang yang hidup tanpa tujuan, bukan sahaja akan merasa kekosongan, bahkan kesamaran dan terus merasakan kerugian dengan usia dirinya sendiri. Demi sesebuah kehidupan yang bahagia, seseorang perlu mempunyai sebuah matlamat di sebalik kehidupannya, agar dia tahu apa yang dia perlu lakukan dalam hidup ini, dan tidak mati dalam keadaan yang sia-sia.
Matlamat Hidup Hakiki
Dalam menjawab persoalan: “kenapa saya hidup di dunia ini”, ramai dalam kalangan manusia yang cuba menjawabnya dengan pelbagai andaian dan persepsi mereka masing-masing, tanpa merujuk kepada sebuah pedoman kebenaran yang hakiki.
Ahli-ahli falsafah mula tercari-cari tujuan hidup seorang manusia dengan menggunakan akal semata-mata. Mereka peka terhadap pentingnya seseorang manusia, untuk mengetahui matlamat hidupnya, namun mereka tetap tidak menjumpai suatu matlamat hidup yang hakiki, kerana tidak mencari matlamat hidup tersebut berdasarkan panduan dan pedoman kebenaran.
Seseorang tidak mampu untuk mengetahui matlamat hidupnya yang sebenar tanpa merujuk kepada rujukan daripada DIA yang menganugerahkan sesebuah kehidupan kepadanya.
Seseorang yang bijak, pasti mengakui kelemahan diri, dalam mencari makna hidup yang hakiki, kerana dia sendiri dalam kehidupannya, tidak pernah hidup dengan kehendak dirinya sendiri. Dia tidak pernah bercadang untuk hidup di muka bumi ini, sebelum kewujudannya. Dia sendiri tidak pernah merancang untuk lahir ke dunia ini. Maka, terbit di hatinya, sebuah perasaan insaf, dalam memahami suatu makna iaitu: “Di sebalik kehidupan ini, ada yang menciptakannya dan meletakkannya dalam dunia ini”.
Ketika itu, seseorang akan sedar bahawasanya, ada suatu kuasa yang Maha Berkuasa, yang berkehendak untuk menciptakannya dan meletakkannya ke dalam dunia ini. Oleh yang demikian, hanya DIA yang menciptakan dirinya sahaja, yang mampu menjawab persoalan: “apakah tujuan hidup manusia?”, kerana Dialah yang menciptakan manusia.
DIA yang menciptakan manusia dan seluruh alam ini, ialah Allah s.w.t.. DIA mengutuskan pada setiap zaman, seorang utusanNya (Rasul) untuk menjelaskan kepada manusia, tentang matlamat hakiki kehidupan seseorang manusia.
Allah s.w.t. juga memberikan kepada setiap para utusanNya, kitab-kitabNya, sebagai pedoman bagi umat manusia. Kitab terakhir yang diutuskan oleh Allah s.w.t. melalui utusanNya yang terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w. ialah kitab Al-Qur’an.
Allah s.w.t. memberitahu kita bahawasanya, kita hidup untuk menjadi hamba-hamba Allah s.w.t.. Hal ini seperti yang termaktub dalam Al-Qur’an iaitu:
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (Surah Ad-Dzariyaat: 51)
Inilah matlamat hakiki seseorang manusia hidup di dunia ini, iaitu untuk beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.. Jika ada seseorang mendakwa, bahawasanya, matlamat hidup seseorang manusia, bukanlah sebagai hamba kepada Allah s.w.t., Tuhan yang menciptakan sekalian alam ini, maka ketahuilah bahawasanya, dakwaannya adalah palsu.
Matlamat hidup hakiki seseorang manusia ialah, untuk menjadi hamba kepada Allah s.w.t., Tuhan yang menciptakannya dan menciptakan seluruh alam ini.
Derita Orang-orang Yang Hidup dengan Matlamat-matlamat Hidup Palsu
Tidak dapat dinafikan bahawasanya, ramai dalam kalangan manusia cuba mencari matlamat hidup sendiri, tanpa berpandukan kitab atau pedoman dari Allah s.w.t.. Lalu, mereka menemui kesesatan dalam pencarian mereka, bahkan menyesatkan orang-orang yang mengikuti mereka.
Sejak zaman dahulu, manusia hidup dalam kesamaran, tanpa pedoman daripada Allah s.w.t.. Oleh yang demikian, Allah s.w.t. mengutuskan para rasulNya pada setiap zaman, untuk setiap umat manusia, supaya mereka mengajarkan kepada umat manusia, tentang matlamat hakiki kehidupan mereka di dunia ini.
Hal ini seperti dalam firman Allah s.w.t.:
“Dan Sesungguhnya Kami telah mengutus sebelum kamu beberapa orang Rasul kepada kaumnya, mereka datang kepadanya dengan membawa keterangan-keterangan (yang cukup), lalu kami melakukan pembalasan terhadap orang-orang yang berdosa. dan kami selalu berkewajiban menolong orang-orang yang beriman. (Surah Ar-Rum: 47)
Setiap para Rasul sebelum Nabi Muhammad s.a.w. turut menyeru kaum-kaum mereka supaya kembali kepada mengamalkan matlamat hakiki kehidupan mereka di dunia ini, iaitu untuk menyembah Allah s.w.t. dan melaksanakan suruhanNya serta meninggalkan laranganNya. Namun, ramai yang degil dengan seruan ini, akhirnya ditimpakan pembalasan oleh Allah s.w.t..
Umat-umat terdahulu ditimpa seribu satu siksaan kerana mereka terus ingin hidup dengan matlamat-matlamat hidup palsu mereka, dengan mengingkari seruan para rasul untuk menyembah Allah s.w.t..
Ada dalam kalangan mereka yang menyembah tuhan selain daripada Allah s.w.t., yang merupakan suatu kesyirikan, dan ada juga yang melaksanakan sebuah gaya kehidupan materialistik, di samping mengabaikan tanggungjawab kehambaan kepada Allah s.w.t..
Hal ini turut dijelaskan oleh Allah s.w.t. lagi dalam firmanNya:
Apakah mereka tidak memperhatikan berapa banyak generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, dengan keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu, Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka. Kemudian, Kami binasakan mereka kerana dosa mereka sendiri, dan Kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain. (Surah Al-An’am: 6).
Hakikat yang tidak dapat dilupakan ialah, kaum-kaum dan generasi yang terdahulu musnah, bukan disebabkan kemunduran mereka dalam bidang materialistik, bahkan sepertimana yang digambarkan oleh Allah s.w.t. sendiri, bahawasanya mereka hidup dalam keadaan mewah dan makmur dari sudut materialistik, namun disebabkan kedegilan mereka, untuk melaksanakan tanggungjawab hidup sebagai hamba-hamba Allah s.w.t. dengan mentaatiNya dan menyembahNya, maka mereka dimusnahkan oleh Allah s.w.t..
Kemajuan yang mana lagi mampu menahan siksaan Allah s.w.t. apabila ia datang? Jelas, tiada yang mampu menahan siksaan Allah s.w.t..
Allah s.w.t. berfirman lagi:
Demikianlah, betapa menderitanya kaum-kaum yang degil, dengan memilih matlamat-matlamat hidup yang palsu, di samping mengabaikan matlamat hidup hakiki iaitu untuk beribadah kepada Allah s.w.t.. Sesungguhnya, apa yang mereka usahakan dalam kehidupan mereka, sia-sia tiada bererti, kerana mereka tidak melaksanakan tujuan hidup mereka yang hakiki iaitu untuk menjadi hamba Allah s.w.t. yang patuh dan taat.
Semoga bersama taufik dan hidayahnya…In sya Allah

0 comments:

Post a Comment

Copyright © 2012 Menuju Cahaya Kebenaran Islam All Right Reserved
Designed by Amirun Nizar.